Monday, 4 February 2013

A Wish ( One Shot)

Pejamkan mata. Biarkan hati berbicara. 

Andai kata apa yang dibilang orang itu benar ,
 biarkan aku dan dia bersama di hayat yang lain.


Sinaran jingga di waktu senja hari ini aku rasakan amat indah. Kenapa ya? Hos air digulung dan disangkut di pili . Sudah menjadi rutin harianku , sebelum pulang ke rumah, bunga-bunga di kedai bunga ibuku ini mesti disirami air. Kata ibu, nanti bunga haus. Aku tahu ibu sengaja mahu menyakatku, tapi tak apa lah.

Sebelum ibu pulang tadi, sempat juga dipesannya agar aku memberikan extra care untuk bunga ros lavender ini. Katanya, bunga ni untuk pelanggan tetap kami, Mrs. Jang Na Ra. 

Aih, banyaknya kerja! Bunga ros ni pun bukan satu pasu, banyak!

Ros lavendar. Aku tak sure apa maksud di sebalik warna tu. Selalunya orang suka tanam bunga ros merah. Tapi cik puan ni pelik lah. Ros lavendar pun susah nak dapat kat sini. Nasib baik ibu ada supplier dari desa. 

Apa yang aku tahu, ia melambangkan ' love at the first sight'.

Love at the first sight. Untuk suaminya yang handsome tu kot.. entah lah.

Ahh, apa-apa sajalah. Yang penting, bunga-bunga yang ibu nak aku jaga macam aku jaga nyawa aku sendiri ni akan dihantar ke rumah agam milik keluarga Lee esok. 


Ahad,6.30 pagi. Sejak 10 minit yang lalu, ibu tak henti-henti mengetuk pintu bilikku. Semakin lama semakin kuat. Berdentum-dentum bunyinya. Bebelan ayah di tingkat bawah langsung tak dapat menandingi suara ibu yang mulai meninggi memanggil namaku.

Bantal dicapai. Cuping telinga ditutup rapat. Selimut ditarik membaluti seluruh tubuh.

" Se Young ! Bangun cepat!"
" Kejap lah ibu.."
" Nanti lambat hantar bunga Mrs. Jang!"
Sebaik sahaja mendengar nama cik puan yang suka sangat dengan bunga lavendar di kedai ibu sejak 3 tahun lalu, aku bingkas bangun. Tuala dicapai di tempat sidaian. 

Sebaik sahaja mendengar jirusan air di lantai bilik mandi, bebelan ibu berhenti. 

Aih, ibu.. ibu.. kalau tak membebel pagi-pagi ni tak boleh ke?



Trak yang dipandu ayah meluncur laju di jalan raya menuju ke rumah agam keluarga Lee yang terletak 5 kilometer dari kedai bunga ibu. Sebaik sahaja tiba di hadapan pagar rumah agam tersebut, pengawal pantas mengangguk kepada ayah yang sudah sedia maklum tentang kehadiran kami.

Pak cik Jo. Pengawal pintu utama. Seseorang yang tak asing lagi bagi aku sejak 3 tahun dulu. Aku banyak berurusan dengannya sekiranya Mrs. Jang membeli bunga di kedai ibu. Kalau pesanannya sedikit, aku sendiri yang akan menghantarnya. Kalau banyak, ayah dan ibu akan turut serta. Sama seperti hari ni.

Secara tak rasminya, aku jadi pegawai urusan ibu lah, kan?



Pagar automatik itu terbuka sebaik sahaja Pak cik Jo menekan punat alat kawalan jauh di pos pengawalnya. Ayah membunyikan hon, tanda hormat dan memandu masuk ke kawasan rumah agam yang terletak 200 meter dari pagar.

Halaman yang luas itu tidak dibiarkan kosong. Aku kagum dengan dekorasi pemilihan taman oleh Mrs. Jang Na Ra. Sememangnya dia seorang pencinta bunga . Tengok sajalah dengan taman bunganya yang besar saiznya, mampu menempatkan kedai ibu di dalamnya.

Ah, kedai ibu bukan besar mana pun..

Trak ayah berhenti betul-betul di hadapan rumah kaca Mrs. Jang. Di sini lah tempat dia menyemai semua anak-anak pokoknya sebelum ia membesar dan sesuai untuk persekitaran luar. Rumah kaca yang sama saiznya dengan rumahku ini mampu membuatkan ibu tergamam seketika. Ini kerana saiznya sudah bertambah sejak kali terakhir ibu berkunjung ke sini.


Resit dan cek bertukar tangan.Mrs. Jang sememangnya seorang yang tidak berkira dengan wang. Tak pernah walau sekali dia minta untuk berhutang walaupun kadang-kadang, hampir separuh bunga di kedai ibu diborongnya. 

Orang berharta, memanglah macam tu, kan?

Sebaik sahaja urusan ibu selesai, kami bersedia untuk pulang. Belum pun sempat aku ucapkan selamat tinggal kepada Mrs. Jang, kedengaran sayup-sayup suara memanggil namaku.

" Kak Se Young ! Kak Se Young !!"

Ji Na berlari-lari anak menuju ke arahku sambil melambai-lambai tangan. Mrs. Jang mengeleng-geleng kepalanya melihatkan telatah anak bongsunya yang satu itu.

" Kak Se Young, boleh duduk kat sini hari ni? Ji Na nak mintak tolong ajarkan homework Ji Na."
" Eh, Ji Na tak pegi sekolah hari ni?"
" Weekend lah, Kak."
" Oh, ya. Tapi, kakak tak nak ganggu weekend family awak lah."
" Tak ganggu lah. Kan, mama? "

Ji Na memujuk ibunya. Dengan pakej yang lengkap; comel dan anak bongsu, kemahuannya pasti dikabulkan oleh ibunya. Mrs. Jang mengangguk.

" Tak apa kah, Se Young? Tak ganggu jadual awak hari ni?"
" Tak , Puan." Aku mengeleng.
" Kan auntie dah cakap jangan panggil Puan, panggil auntie sudah. Kita pun dah macam keluarga."
" B-Baik, Auntie."
" Yeay, kakak boleh temankan Ji Na hari ni..!!"
" Kamu ni kan, Ji Na, selalu kacau Se Young lah.. tutor ada pun, masih nakkan Se Young yang ajar.."
" Tak apa lah mama. Ji Na suka kak Se Young.."

Aku pun suka Mrs. Jang. Kaya tapi merendah diri. Aku suka Ji Na jugak. Comel tapi tak mengada-ngada.


Waktu berlalu pantas. Sedar tak sedar dah tengah hari. Ji Na yang tadi bersemangat nak belajar, akhirnya terbaring di katilnya yang bersaiz king itu. Tangan diangkat tanda mengaku kalah.

" Aik, dah surrender ke?"
" Sorry lah kak, penat lah belajar banyak sangat hari ni.. rehat kejap boleh?"
" Awak ni kan.. mana ada orang penat belajar?"

Aku menutup buku rujukan Ji Na. Menjadi cikgu tak bergaji Ji Na sudah menjadi rutin aku sejak 3 tahun lalu. Nak buat macam mana, memang dah nasib. Ji Na yang kini terlentang di katil , aku hampiri. Pinggul dilabuhkan di sisinya.

" Kak, jom lah baring sini.."

Tanpa sempat aku bersetuju, Ji Na pantas menarik tanganku untuk berbaring bersamanya. Nyaman rasanya bila air-cond menghembuskan udara yang dingin di tengah hari yang terik ini. 

Bila lah agaknya ayah nak pasangkan satu kat bilik aku? Mimpi je lah..

" Kak, pernah nampak tak pokok besar kat belakang rumah tu?"
" Ya, kenapa?"
" Mama cakap kalau buat hajat kat pokok tu, hajat akan makbul."
" Ji Na percaya ke?"
" Ntah. Tapi mama cakap ada cerita di sebalik pokok tu.. tapi tak pulak mama cerita pasal apa.. tu buat Ji Na curious tu.."
" Kakak pun pernah dengar cerita pasal pokok hajat tu dari ibu kakak. Tak sangka pulak pokok belakang rumah awak tu pokok hajat.."
" Eh,cerita dongeng ke ?"
" Urm.. mungkin .. Kakak pun tak pasti.."
" Kak, cerita lah.."
" Aih, awak dah 14 tahun pun masih nak dengar cerita dongeng kakak ke?"
" Ala, boleh la..please.."

Aku mengukir senyuman kepada gadis sunti di hadapanku yang sudah mula membuat muka comel ini.

" cerita ni, bukan dongeng biasa tau."
" habis tu?"
" rahsia..."



Mata dipejam rapat. Biarkan hati berbicara.

Tolong lah , tunaikan permintaanku ini. Aku tak mahu berkahwin di usia semuda ini. 17 Tahun.

Derap kaki semakin hampir. Bunyi dedaunan kering yang dipijak tiba-tiba berhenti. Aku membuka mata. Menoleh ke kanan. Senyuman terukir di bibirnya yang merah merekah itu. Tundukan hormat diberikan kepadaku.

Huh, lega.

Dia berjalan melepasi aku. Terus menuju ke pokok. Pokok hajat. Dia menjenguk ke atas dahan pokok. Tiada apa-apa. Setelah itu, dia kembali mendekatiku.

" Aih, tuan puteri, buat hajat lagi ke?"
" Awak ni kan, suka hati saya lah nak buat hajat ke apa..ni pasal hidup mati saya tau tak.."

Dia tersenyum lagi. Aku memeluk tubuh. Mendengus kecil tanda tak puas hati.


" Seorang puteri tak boleh buat macam tu tahu? Tak manis orang tengok.."
" Mana ada orang kat sini. Cuma awak je lah!"
" Habis, saya bukan orang ke?"

Ah,sudah lah. Tak guna banyak cakap dengan dia ni. Dia menang. 


" Kenapa awak ke sini?"
" Saya ditugaskan untuk bawa tuan puteri balik ke istana memandangkan seluruh istana sekarang dah kecoh cari tuan puteri yang hilang sejak tengah hari tadi.."
" Tapi, saya .. tak mahu balik ke istana. Awak, bawa saya pergi, boleh?"

Dia membongkokkan diri . Sengaja mahu menyamai ketinggian dengan ku yang hanya berada di bawah bahunya itu. Matanya yang redup memandang jauh ke dasar mataku. Senyuman masih terukir di bibirnya.

" Tak boleh. Tuan puteri kena ikut saya pulang."

Aku mendengus geram. Bibir di bahagian bawah digigit secara spontan. Pandangan dikalih.

" Ayahanda mesti nak jodohkan saya dengan putera yang langsung saya tak kenal lagi! Saya tak mahu..!"
" Tuan Puteri, awak tak boleh bantah kehendak Tuanku.."
" Kehendak sama saja dengan arahannya kepada askar-askar yang pergi berperang . Tak pernah dia tanya sama ada mereka punya keluarga atau tidak. Sama ada mereka sanggup berkorban nyawa atau tidak!"
" Sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk mempertahankan negara, Tuan Puteri. Suka atau tidak, sekali ikrar dilafaz, harus ditunaikan."
" Kalau awak yang harus pergi berperang?"
" Saya pergi lah."
" Habis saya?"
" Tuanku boleh carikan pengawal peribadi yang lain."
" Tapi saya tetap nak awak jadi pengawal saya.."

Dia tersenyum sekali lagi. Mengangguk kecil. Aku tahu,dia sudah bosan dengan bebelan aku yang entah apa-apa ini. Pada akhirnya, langkahnya aku turuti jua. 

Takkan nak berdiri kat sini sampai esok..?

" Lee Jong Suk!! Tunggu saya!"

Hanbok yang labuh kuangkat sedikit untuk memudahkan larian. Aku tahu, dia sengaja mengecilkan langkahnya agar aku dapat mengejarnya. Akhirnya langkahku mendahuluinya. Aku menjelirkan lidah tanda kemenangan kecilku itu.

Dia tersenyum sambil membulatkan matanya . 

Ah,comel.


Sebaik sahaja kaki melangkah di gerbang istana, aku dapat lihat yang mereka kembali berwajah lega tatkala mengetahui kehadiranku. Aku sempat mengerling sekilas pandang kepada pengawal peribadiku yang tegak berdiri di sebelah . Pedang sentiasa tersisip rapi di pinggangnya.

Dia setia menemaniku ke mana jua. Sentiasa melayan kerenahku yang agak kebudak-budakan. Kadang-kadang turut sama bermain denganku. Seingat aku, dia telah menjadi pengawal peribadiku sejak usiaku 15 tahun. Ah, dia berusia 18 tahun ketika itu. 

Aku sendiri seakan tak percaya yang dia baru berusia belasan tahun ketika itu. Kata ayahanda, orang muda staminanya kuat. Dia boleh lindungi aku. Tak macam pengawal peribadiku yang dulu yang mana agak berusia. Padahal mereka penat mengejarku yang asyik lari dari istana setiap masa. Alasan.

Dayang-dayang istana kini berjalan menuju ke arahku. Tuan Lee Jong Suk yang dari tadi berdiri di sebelahku mengangguk hormat kepada ketua dayang.

" Tuan puteri, sudah tiba masanya untuk tuan puteri bersiap. Hari sudah petang."

Aku hanya memandang kosong ke arah wanita separuh usia itu. Dia meneruskan kata-katanya yang sudah imun bagi gegendang telingaku.

" Sekejap lagi majlis hari lahir tuan puteri akan berlangsung. Tuanku minta patik menyiapkan tuan puteri dengan kadar segera. Tetamu Tuanku sedang dalam perjalanan."

Aku mengangguk lemah. Kini, orang yang mengiringiku bertukar wajah dari Tuan Lee Jong Suk yang comel kepada ketua dayang yang licin berkilat wajahnya. Entah apa yang dipakainya. Aku menoleh kepada dia. Minta ditolong. Dia hanya tersenyum. Aku mengetap bibir. Geram.



Aku duduk bersimpuh di sebelah bonda yang setia menemaniku. Entah apa yang dibicarakan oleh ayahanda dengan menteri-menterinya, aku pun tak pasti. Kebiasaannya mereka akan mengampu ayanhanda agar senang dinaikkan pangkat. 

Tak boleh ke kalau naik pangkat dengan cara yang betul?

Aku tercari-cari wajah pengawal peribadiku itu. Entah ke mana dia lesap sejak pulang dari mencariku petang tadi.

Bonda membisikkan sesuatu kepada dayang. Dayang itu terangguk-angguk dan segera beredar. Dari jauh, aku dapat melihat perbuatan dayang itu yang sedang menuangkan minuman kepada Perdana Menteri yang rancak berbual dengan menteri yang lain. Dayang itu membisikkan sesuatu . Perdana Menteri itu tersenyum memandang ke arah kami.

Aih, bonda pun sama macam mereka jugak ke?

Apabila tetamu beransur pulang, aku menyelinap keluar dari pandangan bonda dan dayang-dayang. 

Fuh, nasib baik.

Aku tercari-cari pengawal peribadiku itu. Aku menjengukkan kepala di koridor luar. Kelihatan dia sedang menjamah hidangan lewat malamnya bersama pengawal yang lain. Sebaik sahaja mereka menyedari kehadiranku, pengawal yang lain segera beredar meninggalkan Tuan Lee Jong Suk sendirian.

" Sedap makan. Tak ajak saya pun."
" Tuan puteri tak sepatutnya ke sini. Tengok pengawal lain dah pergi."
" Tak kisah."
" Ni mesti awak lari lagi. Tuanku Permaisuri mesti tengah cari awak."
" Biarkan je lah. Duduk kat situ pun tak ubah macam tunggul. Bila saya hilang, mula lah nak cari."

Dia mengangguk kepala mendengarkan alasanku itu. Acap kali dia mendengar alasan yang sama. Tapi tak pernah kata apa-apa. Dia meneruskan suapannya. Lapar benar agaknya. Bibimbap yang dimakannya nampak agak menyelerakan. Agak berlainan dari yang aku makan. Aku teragak-agak untuk merasa. 

Dia menyedari aku asyik merenung ke arah pinggan lalu menghulurkan sudu yang dipegangnya. Pantas aku menyambut. Sudu yang berisi bibimbap segera disuapi ke mulut. Setelah itu aku mengembalikan sudu kepadanya.

" Sedap. "

Aku tersenyum kepadanya. Dia menunduk menyorok wajah di sebalik bayang dan meneruskan suapannya. Aku tak pasti bagaimana wajahnya saat itu kerana cahaya bulan tidaklah seterang mana.



Tak lama selepas majlis hari lahirku, kira-kira 2 minggu, telah berlaku pemberontakan dalaman. Entah bagaimana ayahanda yang aku sayangi pergi meninggalkanku buat selama-lamanya. Bendahara istana mengesyaki ayahanda diracun makanannya. 

Kemangkatan mengejut ayahanda membuatkan para pengawal istana lebih berwaspada dan jagaan terhadap keluarga diraja diketatkan. Dalam keributan itu, pak cik Jin Young iaitu adik kepada ayahanda menyarankan aku agar segera dikahwinkan dengan putera agar dapat menggantikan takhta ayahanda yang kosong itu.

Bonda menerima cadangan itu dengan hati yang terbuka memandangkan aku puteri tunggal kerajaan ini.

 Aku ?




 Aku hanya mampu menangis sendirian tanpa mampu membantah apa-apa.





Berhari-hari aku berkurung di dalam bilik. Berhari-hari juga aku enggan menjamah apa-apa makanan dan minuman. Air mata sudah lama kering. Aku penat sangat nak menangis. 

Pokok hajat, kau dengar apa yang aku hajatkan? Tolong lah, bawakan Jong Suk kepadaku. Selamatkan aku.


Bunyi pintu diseret ke sisi. Aku sengaja membatukan diri. Enggan menoleh. mesti bonda lagi. Tak habis-habis dia memujukku untuk keluar atau sekadar menjamah makanan yang dihidangkan sesuap dua.

Tapi, lain benar kali ni. Aku tak dengar sebarang suara bonda. Tapi aku juga mendengar derapan tapak kaki dayang-dayang yang mula meninggalkan kamar beraduku. Aku menoleh.


Tanpa diduga, manik-manik jernih kembali bergenang tatkala melihatkan dia yang duduk bersimpuh di ruang menghadap yang hanya berjarak 2 depa dariku. Aku segera menghapuskan manik-manik jernih itu dari berguguran. Tak mahu dilihatnya yang sedang menunduk wajah tanpa memandang ke arahku. Bersedia menerima perintah.


" Kenapa baru sekarang awak datang? Awak ke mana selama ni?"
" Maaf tuan puteri. Saya sibuk dengan kawalan istana."
" Bukan kah awak sepatutnya menemani saya di sini?"


Dia cuba mengukir senyuman. Aku tahu, senyumannya kelat.Tak nampak seperti biasa. Entah apa yang disorokkan di hatinya. Tak pernah diberitahu.


" Saya dengar dah berhari-hari tuan puteri tak makan."

Pandanganku dikalihkan dari wajahnya. Entah mengapa aku tak sanggup berhadapan dengannya.


Eh, tadi bukan aku yang hajatkan agar dia datang ke sini?


" Jadi saya datang ke sini."

Aku masih menunggunya untuk meneruskan berkata-kata.

" Tuan puteri tak boleh begini. Nanti jatuh sakit. Tuanku baru saja mangkat. Tuanku permaisuri juga masih bersedih. Jadi.."
" Saya tak boleh macam ni? Bonda mahu jodohkan saya dengan orang yang saya langsung tak kenal. Langsung tak cinta!"


Dia tergamam. Cuba mencari kata-kata yang boleh menenangkan hati aku yang gundah barangkali.


" Selama saya hidup, saya tak pernah minta apa-apa dari mereka. Mereka hanya tahu memberi dan memberi. Cuma kali ni, saya minta kat mereka.."


" Benarkan saya kahwini orang yang saya cintai."


" Putera mana atau anak kepada bangsawan mana yang tuan puteri cinta?Biar saya beritahu Tuanku Permaisuri."
" Tak guna awak beritahu Bonda."
" Kenapa?"


Aku kelu. Aku tak tau sama ada harus diucapkan atau tidak apa yang menganggu fikiranku saat ini. Susah.



" Sebab dia yang saya cinta "




"ialah..







 awak."



Gilirannya pula terdiam seribu bahasa.


Daun pintu diseret. Terbuka. Dayang masuk untuk memaklumkan kehadiran bonda. Dia bangun dari tempat duduk. Berdiri di penjuru tempat menghadap. Membongkok hormat kepada bonda tanpa mendongakkan wajahnya kembali .


Mustahil untuk kami bersama bukan?


Kehadiran bonda membawa beberapa persalinan untuk aku sempena majlis perkahwinan yang tetap akan berlangsung keesokkan hari. Walau tanpa persetujuan dariku. Aku sempat mengerling kepada dia yang masih berdiri di samping dayang-dayang bonda. Aku seakan nampak kesayuan di sebalik kelopak matanya.


Satu persatu hanbok persalinan diraja yang berwarna-warni dibentangkan dihadapanku. Langsung tak menarik minatku walaupun terdapat warna kegemaranku di situ. Akhirnya aku meminta bonda memilih persalinan yang sesuai.


Aku tak mahu terus mendengar sebarang cerita menarik berkenaan tuan putera yang bakal menjadi suamiku kelak. Cukup sekadar aku tahu bahawa dia akan menggantikan takhta ayahanda.


Usai sudah pujiannya yang tanpa kesudahan terhadap calon menantunya, bonda meninggalkan kamar beraduku. 


" Boleh bawa saya ke pokok hajat?"


Dia mengangguk . Langkahku diturutinya dari belakang. Tiada sebarang kata diluahkan atau pun mampu kuluahkan.



Pandanganku dilemparkan kepada pokok yang merendang di hadapan mata. Dia masih di sisiku.


" Hajat yang dibuat, tak mampu mengubah takdir yang tertulis."


Aku memandang ke arahnya. Namun tidak pula dia memfokuskan pandangannya kepadaku.


" Andai kata kehadiran saya di kamar tuan puteri sebentar tadi merupakan hajat tuan puteri yang terjawab, tapi saya tetap tak mampu melawan takdir yang tertulis esok. Takdir satu perkahwinan diraja yang akan berlangsung esok."


" Tak semua hajat saya akan termakbul, bukan?"


Dia terdiam.


" Jadi, biarlah saya memasang hajat untuk kali terakhir."


Aku sudah sedia maklum, sebaik sahaja aku menjadi Permaisuri, takkan ada lagi aktiviti melarikan diri dari istana. Aku pun tak pasti sama ada aku dapat datang lagi ke sini. Bersama dia. Sendirian.


Mata dipejam rapat. Aku biarkan hati berbicara. Cepat atau lambat, benar atau tidak, biarkan ia termakbul.


Andai benar apa yang dibilang orang, biarkan aku bersama dia di hayat yang lain.



Majlis perkahwinan diraja berlangsung dengan gilang-gemilang . Lancar. Aku tak tahu sama ada harus bergembira atau bersedih. Sepanjang hari, aku hanya mampu memandang dia dari jauh. Dia langsung tidak mendekati aku hari ni. Ramai yang berkawal untukku. Ah, alasan.


Tuan putera dari kerajaan selatan kini secara rasminya menjadi suamiku merangkap orang yang menggantikan takhta mendiang ayahanda. Pada pandanganku, dia agak baik. Tapi entahlah. Aku tak punya sebarang perasaan terhadapnya.



Kata bonda, cinta boleh dipupuk.



Aku.





 Tak.





 Percaya.




Perkahwinanku ini membawa keamanan negara daripada pemberontakan memandangkan kerajaan suamiku saling membantu menghantarkan gerombolan askar untuk berkawal di tempat yang disyaki menjadi markas pemberontak.


Dan, Tuan Lee Jong Suk?


Putera yang kini maharaja kerajaanku tetap melantik dia sebagai pengawal peribadiku memandangkan sudah bertahun dia menemaniku.


Cuma aku rasa..



Kami tak seperti dulu.



Jurang antara kami amat jauh. Semakin jauh dan dalam. Tak mungkin dapat dicapai.




Setahun berlalu, keamanan yang dicapai tak bertahan lama. Terdapat ura-ura tentang pemberontakkan akan berlaku di istana. Pengawal mengambil langkah berjaga-jaga. Tapi tak dapat pula dikesan siapa dalangnya.

Hinggalah peristiwa hitam setahun lalu kembali berulang apabila giliran bonda yang menemui ajal. Aku menangis semahu-mahunya. Tiada siapa yang dapat memujuk hatiku yang berkecai saat ini. Suamiku yang setia di sisi mahupun dayang-dayang yang mengelilingiku.


Aku tak perlukan mereka.



Aku cuma 






perlukan





 dia.



Siasatan dijalankan. Pemberontakan yang tercetus rupa-rupanya didalangi oleh bapa saudaraku sendiri, pak cik Jin Young . Sama seperti setahun lalu.


Motifnya hanya satu. Mahu merampas takhta dari ayahanda.


Sangkanya bila ayahanda mangkat,aku akan berkahwin dengan puteranya yang bongkak itu, namun bonda terlebih dahulu memilih putera dari kerajaan selatan untuk menggantikan tempat ayahanda. Lalu dia memendam rasa. Dendam yang tak kesudahan.


Dan, pak cik Jin Young yang memegang tampuk angkatan tentera mengawal segalanya. Cuma yang setia kepada keluarga diraja bermati-matian mempertahankan istana.


Keadaan meruncing kerana perang yang berlanjutan. Jumlah korban bertambah setiap hari. Angkatan tentera diraja semakin berkurangan. Bantuan ketenteraan juga disekat di sempadan. 

Semua pengawal dikerah turun padang. Dia juga terpaksa berbuat demikian. Dengan orangnya yang sedikit, dia berusaha melindungi aku apabila pemberontak mula memasuki kawasan istana.


Aku dan maharaja terpisah. Maharaja dibawa pergi oleh bendahara dan pengawal-pengawal peribadinya. Katanya untuk mengurangkan risiko kami tertangkap. Aku tak ambil pusing walaupun aku amat risaukan keselamatannya. Lagipun, dia maharaja kerajaan aku.


Seakan sudah tertulis, Tuan Lee Jong Suk membawa aku keluar dari istana melalui jalan belakang. Laluan yang sering aku guna untuk larikan diri dulu. Tak sangka dia masih ingat.

Entah mengapa hari ini aku dapat rasakan sesuatu bakal berlaku. Renyah rasanya hati. Tapi perasaan tu , aku cuba usir . Jauh-jauh. 


Dia tetap sama. Sama seperti dulu. Sentiasa melindungiku. Sedaya upaya menepis serangan pemberontak yang mengejar kami. 


Jari jemarinya tak lepas memegang tanganku saat kami melarikan diri. Aku rasa selamat bila berada di sisinya. Langsung terlupa akan masalah yang sedang melanda sekarang ini.

Pentingkan diri sendiri , eh?


" Saya janji akan jaga Tuanku Permaisuri lebih daripada saya jaga nyawa saya sendiri."


Aku terkelu. Tuanku Permaisuri? Oh, aku lupa.


Kami diserang hendap dari kiri dan kanan denai. Dia dan orang-orangnya cuba melindungi aku.

" Tuan pergi dengan Tuanku Permaisuri! Biar kami jaga di sini!"
" Cepat Tuan!!"

Dia teragak-agak untuk meninggalkan orang-orangnya yang sedaya upaya menahan serangan pemberontak. Dia menoleh ke arahku yang berada di belakangnya.

Dan..


Tanpa berfikir panjang, dia menarikku keluar dari tempat mereka berlawan itu. 

Lari dan terus berlari.

Itu yang aku buat. Dia juga sama.



" Kita nak lari sampai bila?"
" Sampai kat pokok hajat! Orang Tuanku sedia tunggu Tuanku Permaisuri kat sana!"

Ucapnya yang tercungap-cungap. Menahan lelah akibat larian yang tanpa henti.

Belum pun sempat kami tiba di sana, dia diserang dari hadapan. Pedang yang sedia tersisip di sisi kini berada ditangan. Digengam kemas agar tak terlepas. Kekuda dipasang. Sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.Nasib kami baik apabila pengawal istana yang lain tiba tepat pada masanya. 


Dan dia menolakku untuk pergi bersama mereka.

Aku tak mampu untuk pergi.

Kakiku tetap mahu berada di sisinya.


" Pergi Tuanku! Cepat!!"
" Saya nak awak pergi sama!"
" Tak boleh! Tolong lah, Tuanku..Tolong pergi dengan mereka! Tuanku akan selamat!"

Aku tetap memaku pandangan kepadanya.

" Janji awak akan kembali dengan selamat, eh?"


Dia senyum. Tanpa sebarang kata .






Aku rasa seperti dia tak akan kembali lagi.





Tapi..







Dia akan kembali, kan?




Aku ditarik pergi oleh pengawal Tuanku. Dari jauh, aku hanya mampu melihat susuk tubuhnya yang menangkis serang manusia-manusia tak guna itu. 

Aku cuba memujuk hati. 






Dia pasti kembali.







Pasti.



Apabila semua manusia tak guna tu tersungkur ke bumi, Tuan Lee Jong Suk bersedia untuk meninggalkan tempat yang disimbahi darah itu dengan segera. 

Dalam keadaan yang cedera parah, dia menggagahkan diri untuk bangun. Pedang yang berlumuran darah itu dijadikan penyokong untuk terus berjalan.

Tanpa diduga, seseorang meluru kearahnya dari belakang.


Dan


Abdomennya ditembusi bilah pedang yang tajam. Menusuk.


Dia tersungkur menyembah bumi. Darah terhambur keluar dari mulutnya. Pedih.

Manusia yang menyerangnya dari belakang itu segera melarikan diri apabila mendapati dia sudah tidak bergerak.




Lee Jong Suk's POV


Pandanganku yang kelam kembali menampakkan cahaya. Kabur.Tangan cuba digerakkan, menahan berat badan. Tapi, kenapa berat sangat?

Aku kembali tersungkur ke bumi. Darah kembali membuak keluar. Pekat merahnya.

Aku cuba membuka mata. 

Dan apa yang aku nampak saat itu..



Pokok hajat.


Badan diengsot. Sedikit demi sedikit.



Kenapa jauh sangat?


Perdu pokok yang hanya beberapa hasta, aku capai. Cuba gagahkan diri untuk bersandar.



Penat. Sangat.



Kelopak mata terasa amat berat. Saat itu, segala memori bersama tuan puteri  kembali menerpa di hadapan mata. Satu persatu. Tanpa tertinggal sedikit pun.

Dalam keadaan yang kabur itu, aku tak dapat mendengar sebarang bunyi lagi. 


Dunia terasa amat sunyi.





Kenapa?





" Pejamkan mata, biarkan hati berbicara."


Andai ini kali terakhir aku bernafas, benarkan aku memasang hajat padamu. Pokok hajat yang aku tak pernah percaya selama ni. Benar atau tidak, biarkan ia termakbul.




Andai benar apa yang dibilang orang, biarkan aku bersama dia di hayat yang lain. Puteri Se Young yang paling aku cinta.



Ji Na mengesat air matanya dengan tisu. 



Eh, tak sangka cerita aku buat dia menangis. Alamak..macam mana ni?


" Kakak, habis pengawal tu hidup ke tak?"
" Awak rasa?"
" Saya nak dia hidup..! Ala, ni ke rahsia kakak tadi..?"

Aku hanya mampu tersenyum. Tiada sebarang kata mampu terluah kepada gadis ini.


"Tak semua cerita dongeng ada happy ending lah."

Kami menoleh kepada tuan empunya suara yang berdiri di hadpaan pintu bilik Ji Na.

" Abang! Bila abang berdiri kat situ?"
" Rasanya, dari mula-mula cerita cikgu awak tu.."

Alamak, siapa pulak mamat ni?Kenapa Ji Na panggil abang? Dia ada abang ke sebelum ni? Kenapa tak pernah jumpa?

" Abang ni, suka sangat curi dengar lah.."

Aku memandang Ji Na. Hairan.

" Oh, lupa nak perkenalkan, Kakak Se Young, ni abang Ji Na yang baru balik dari US. Abang Jong Suk. Dia baru balik semalam. Sure kakak tak pernah jumpa, kan? Dia tak pernah balik sini pun bila belajar kat sana. Kami je yang lawat dia..Kedekut duit tambang la tu.."
"Oh, sempat lagi kamu kutuk abang ye..siap kamu..mentang-mentang ada cikgu kamu kat sini.."
" Kak Se Young bukan tutor Ji Na lah. Dia jadi kakak Ji Na bila abang tak ada!"

Ji Na menjelirkan lidahnya kepada abangnya.

Abangnya itu membulatkan mata.



Ah, comel.



" Kak, kalau nama pengawal tu sama dengan nama abang, mesti puteri tu sama dengan kakak,kan?"


Aku terkedu.

Aih, budak ni..

" Manalah kakak tahu.."



" Kalau lah cerita dongeng tu betul, mesti hajat puteri dan pengawal peribadi tu termakbulkan?"


" Termakbul macam mana?"
" Di hayat yang lain, mereka akan bersama.."

Ji Na mengangkat kening kepadaku. Kemudian dikalihkan kepada abangnya.


Dan




Pandangan kami bertaut.




" Manalah tau, entah-entah dorang sebijik abang dan kakak.."


Aku terkedu. Entah apa yang tak kena denganku . Sebaik saja mendengar kata-kata Ji Na tadi, wajahku terasa panas. Ji Na dengan selambanya bangun dan mengemas mejanya yang berselerak.


Dan



Dia yang Ji Na panggil abang mula menggaru-garu kepala yang tak gatal. Beredar meninggalkan kami.


" Abang Jong Suk dah suka kan kakak lah tu.."
" A-apa yang awak merepek ni..?"
" Selalunya kalau Ji Na usik dia, dia akan luku kepada Ji Na..tapi, dia lari pulak.."
" Macam-macam lah awak ni.. Kalau dah tak de homework lagi, kakak nak balik dulu. Hari pun dah petang ni.."
" Kak, jom lah dinner dulu. "
" Tak apa lah. Ibu kakak mesti risau kakak tak balik-balik lagi. "

Ji Na melepaskan keluhan kecewa.

" Jom lah, Ji Na hantar kakak sampai kat depan.."
" Okay.."



"Abang, tolong hantarkan kakak Se Young balik, boleh?"
" Hah?"

Dia memandangku.

" Eh, tak apa. Kakak boleh balik sendiri."
" Tak boleh. Bas susah nak berhenti kat kawasan ni waktu petang. Teksi pun belum tentu lagi. Bahaya kalau kakak tunggu sorang-sorang kat bus stop."
" Tak apa lah, Ji Na."


Beria-ia aku menolek pelawaan Ji Na. Ah, tak mungkin aku nak naik kereta bersama abangnya yang aku baru kenal namanya? Tak mungkin dia sudi menghantar orang luar seperti aku.

Mrs. Jang keluar dari dapur. Menghampiri kami.

" Se Young, jom lah makan dengan kami."
" Tak apalah auntie. Saya bimbang ibu risau saya tak balik lagi."
" Tak apa,auntie boleh telefon dia , ya?"
" Eh, tak apa. Tak payah susah-susah. Saya pun dah lama kat sini."
" Hurm.. betul ni?"
" Betul!"

Aku mengangguk.

" Baiklah kalau macam tu. Ha, Jong Suk, hantar Se Young balik rumah. Mama risaulah kalau dia tunggu bas sorang-sorang."
"B-Baik.."
"Se Young, yang ni awak tak boleh tolak."
" Tapi.."
" Tak ada ' tapi-tapi'. Dah, Jong Suk, kamu ambil kunci kereta. Hantar dia pulang . Dengan selamat."

Mrs.Jang sengaja menjengkelkan mata kepada anak terunanya itu. Dia hanya mencebirkan bibir. Kunci kereta diraih. 

Aku segera mengekori langkahnya. Tak mahu dia menunggu aku pulak.

" Cakap kat ibu kamu, terima kasih untuk ros lavender tu. Nanti saya beli lagi."

Aku menunduk hormat. Pamit untuk pergi.



Perjalanan ke rumah , aku rasakan amat jauh.


Bilalah nak sampai ni? Seksa betul lah.. Dah la dia ni diam tak cakap apa-apa.. mesti tak suka bila Mrs. Jang suruh hantar aku balik rumah..


Tangan yang mula  mengeluarkan peluh dingin , aku gengam erat. Sesekali aku mengerling kepada dia yang amat fokus terhadap jalan raya di hadapan.

Aku tak ambil kesempatan eh..


" Cerita awak tu, macam real je."

Aku menoleh ke arahnya. 

" Rasanya masa kecil, mama pernah cerita. tapi, saya tak kisah sangat."

Pandanganku dikalih kembali. Bimbang sekiranya dia salah anggap yang aku merenungnya.

" Bila dengar awak cerita hari ni, tak sangka saya pun rasa macam saya hidup zaman tu. Dalam cerita tu."
" So, saya ni, tukang cerita yang bagus lah?"
" Mungkin."

Dia  mengukir senyuman kepada ku. Aku mengalih pandangan. Memandang ke hadapan.


" Mama , boleh bacakan untuk Ji Na tak surat ni?Ji Na tak tahu nak baca. Tulisan dia bukan macam sekarang. Abang baca semalam tapi dia tak nak bagitau apa..benci betul lah!"

Mrs. Jang tersenyum lalu mencapai surat yang agak lusuh itu.

" Mana awak dapat ni?"
" Atas pokok belakang rumah tu."
" Patutlah abang awak membebel tak henti-henti semalam. Awak panjat pokok tu rupanya.."
" He.. He.."


Cinta tak semestinya memiliki.
Dan kami tak mungkin akan bersama di hayat ini.
Tapi aku harap, andai aku dilahirkan semula di hayat yang lain,
satukan kami bersama.
Tuan Lee Jong Suk yang aku cinta.
-Puteri Park Se Young


Mrs. Jang memandang Ji Na yang juga terpinga-pinga mendengar isi kandungan surat berkenaan.



" Boleh bagitau nama penuh awak, cik Se Young?"

Pandangan mataku terpaku seketika. Kening dikerutkan. Hairan.

Dia masih menunggu jawapan dariku.


Ala, nama je kan?


" Park Se Young."


Dia mengangguk dan kemudian tersenyum. 

" Nanti kita jumpa lagi , eh?"

Tanpa menunggu kata setuju dariku, dia meluncur pergi bersama keretanya. Meninggalkan perkarangan rumahku.

Aku masih berdiri. Memandang kereta yang sudah mula menghilang dari pandangan. Bebelan ibu yang memanggil aku masuk, langsung tidak diproses di telinga.

" Nama saya Lee Jong Suk."



Starring:

                          Park Se Young
            Lee Jong Suk
                                                    
E N D

No comments:

Post a Comment